Juffri Supa'at

Mantera 2000

In XXL-Anak Muda Julung Berkeris on April 19, 2010 at 9:31 am

Dengan nama Allah, dengan nama Rasul
sebagai pemula mantera 2000;
Kuseru bangkit semangat bangsaku
berhimpun di dalam kalbu.

Kuseru segala semangat panglima
bersatu segala semangat wira-wira;
Membina jiwa semangat lamina
mantera disemat di dalam dada.

Kuseru segala semangat pendekar
berhimpunlah segala semangat wali-wali;
Biarlah duduk bertakhta
dan bertapak di sanubari.

Mantera 2000
pembina semangat baru dan jitu
merangsang naluri ingin maju
agar tak terkilan
melihat orang sering di depan dulu.

Ini mantera berserta seru
untuk AKU-AKU yang masih lesu;
Dari duduk berteleku topang dagu
Bingkas bangun mengisi masamu.

Kan
sekarang bukan masanya
duduk-duduk;
tunggu-tunggu;
Siapa lekas,
siapa tangkas
sering dapat dulu.

Ini mantera 2000
buat menempuh abad dua puluh satu
sama ada
hendak jadi insan kelas dua atau satu
terpulang kepada AKU-AKU.

Mantera hanya mantera
bukan setakat hanya baca-baca
atau diasapkan kemenyan di dalam dupa.

Tetapi
perlu ada usaha dan
ilmu harus penuh di dada
Insyaallah,
jaya tercapai jua.

Mantera berserta seru
Harus ingat perintah Tuhan
Harus ingat pesan Rasul
minta ditetapkan iman
dipertingkatkan harkat keinsanan
supaya menjadi umat yang disegan.

Mantera 2000
bukan mantera abad dulu
mengajak ke hadapan
menempuh zaman baru
mencapai taraf masyarakat maju
yang mencabar daya ketahanan
dan pemikiran bangsaku.

Juffri Supa’at
5/9/92

WP SlimStat