Evolusi Bahasa Melayu
Mohamed Pitchay Gani Bin Mohamed Abdul Aziz
Institut Pendidikan Nasional
University Teknologi Nanyang
1 Bahasa dan Evolusi
Bahasa merupakan keupayaan fitrah manusia, berupa satu sistem lambang bunyi suara arbitrari yang dipersetujui bersama oleh satu kelompok sosial dan digunakan sebagai alat interaksi. (Kamus Lingusitik 1997:27) Evolusi merujuk kepada perubahan atau perkembangan secara beransur-ansur daripada satu generasi kepada generasi lain. (Kamus Dewan 1996:346) Gabungan kedua-dua definisi ini menunjukkan bahawa bahasa adalah suatu sistem lambang yang dinamis. Ia tidak statik selagi ada penggunanya dan akan perkembangan mengikut peredaran masa secara berperingkat-peringkat.
2 Asal usul Bahasa Melayu
Bahasa Melayu merupakan rumpun bahasa Austronesia. Pecahan ini membawa kepada bahasa Melayu pertama iaitu bahasa Melayu kuno. Kemudian diikuti oleh bahasa Melayu klasik dan akhirnya bahasa Melayu modern. Perkembangan ini berlaku kerana bahasa Melayu berkembang mengikut perkembangan pemikiran dan budaya masyarakat Melayu itu sendiri. Bangsa Melayu telah mengalami pemerintahan tiga empayar besar pada perkembangan peringkat pertama iaitu kerajaan Srivijaya (TM 600-1377), Majapahit (TM 1292-1520) dan Melaka (TM 1402-1528). Ketiga-tiga empayar ini merupakan pemankin kepada evolusi bahasa Melayu.
Bahasa Melayu merupakan anggota rumpun Austronesia yang meliputi kawasan Taiwan (Formosa) di utara hingga ke New Zealand di selatan dan Madagaskar di barat hingga ke kepulauan Easter di timur. Orang-orang Melayu dipercayai berpindah dari daratan Asia secara berperingkat-peringkat ke kawasan yang didiami masa kini. Menurut Asmah Hj Omar (1988:18),walaupun kini didapati bahawa bahasa yang dituturkan oleh anggota rumpun Austronesia itu berbeza, namun terdapat beberapa kesamaan terhadap perbendaharaan kata mereka memandangkan bahasa-bahasa tersebut berasal dari rumpun yang sama seperti dalam contoh berikut :
Bangsa Sebutan
Melayu hulu, ulu
Melayu datar, rata
Tagalog ulo
Paiwan kadzatan
Bisaya (Filipina) ulu
Tagalog lataq
Bikol ulu
Bisaya dataq
Jawa ulu
Jawa rata
Tonga ulu
Madura ratah
Futuna ulu
Ngaju Dayak datar
Rukal ulu
Malagasi ratana
Saisiat aola
Maanjan rata
Paiwan ulu
Puyama tang-uru’uh
Kesamaan tersebut menjadikan bahasa Melayu sebagai berasal daripada rumpun Austronesia yang meliputi kepulauan Irian, Polenesia, Melanesia, Australia dan New Zealand. Rumpun Austronesia ini pula dipercayai berasal dari tanah asal yang sama. Beberapa orang sarjana telah mengemukakan hipotesis tentang tanah asal ini.
Toedoro Llamzon, seorang ahli Linguistik Bandingan dan Thor Heyerdahl, ahli ekspedisi Kon-Tiki yang termasyur merumuskan bahawa tanah asal bagi rumpun Austronesia ialah daratan Asia samada di Champa (kini dikenali sebagai Indo-cina yanmg meliputi kawasan Vietnam, Laos dan Khmer), Tonkin dan Yunan (Mongolia) H.A Kern berpendapat bahawa tanah asal tersebut di pantai timur Cina yang dinamakan “India Jauh”. Manakala Isidore dyen, seorang ahli Linguistik Bandingan, berpendapat bahawa New Guinea merupakan tanah asal Austronesia. Pendirian H. A Kern diterima sebagai sesuai dalam konteks susur galur bahasa dan bangsa Austronesia.
3 Evolusi Bahasa Melayu kuno
Pada zaman Hindu-Buddha, penutur bahasa Melayu amat kecil bilangannya memandangkan ia merupakan satu daripada 200 bahasa alam Melayu ketika itu. Pada peringkat awal zaman tersebut bahasa Melayu dikenali sebagai bahasa Melayu kuno. Namun keadaan berubah dengan kewujudan kerajaan Srivijaya yang membawa sama pengaruh Hindu yang kuat. Ia menjadikan zaman tersebut zaman keemasan bahasa Melayu kerana bahasa Melayu digunakan dalam kerajaan serta pertuturan. Buktinya dapat dilihat daripada 4 prasasti yang ditinggalkan di setiap kawasan takhluk Srivijaya di Pelembang.
Prasasti pertama di Kedukan Bukit menceritakan sesuatu kisah atau aktiviti kerajaan besar yang mengawal Asia Tenggara ketika itu. Ia juga menjelaskan aspek agama dan tatasusila Hindu. Prasasti tersebut menggunakan huruf renjung, condor atau Pallava yang dikenali sebagai bahasa kuno. Kini bahasa Sanskrit bertindih dengan bahasa Melayu kuno. Keadaan ini dikenali sebagai saduran kerana terdapat banyak istilah dalam bahasa Melayu kuno yang tidak mempunyai kosakata yang cukup. Keterbatasan ini menyebabkan bahasa sanskrit digunakan dengan meluas dalam bahasa Melayu kuno.
Prasasti kedua di Jawa tengah pula menunjukkan bahasa yang lebih bertamadun kerana terdapat unsur bahasa berkasta. Ia dipercayai serapan pengaruh Srivijaya ke atas orang -orang Jawa. Mereka menganggap bahasa Jawa lebih tinggi daripada bahasa Melayu kuno. Semasa zaman pemerintahan Majapahit di Aceh, bahasa Jawa didapati amat rumit dan tidak digunakan di semua peringkat masyarakat. Maka penterjemahan kitab-kitab Hindu ketika itu dilakukan ke bahasa Melayu kuno kerana ia paling mudah dikuasai.
Pada zaman pemerintahan Melaka. Pengaruh Islam telah membawa perubahan selanjutnya terhadap bahasa Melayu. Batu bersurat yang dijumpai di Minangkabau mengandungi campuran bahasa Melayu kuno dan Sanskrit. Batu nisan di Acheh pula menonjolkan campuran huruf India dan Arab. Batu bersurat di Terengganu pula menggunakan bahasa Melayu yang tersusun dengan baik menunjukkan berkembangnya kesusasteraan kerana ada unsur keindahan. Akhirnya lahir Sejarah Melayu yang ditulis dalam bahasa Melayu berhuruf Jawi.
Bahasa Melayu pertama kali ditulis dengan huruf Pallawa (India). Bahasanya amat halus. Pengaruh Sanskrit sangat jelas sekali di kekatanya. Ini membuktikan bahawa bahasa Melayu kuno sebenarnya telah ada struktur dinamis yang membenarkan ia menerima sebarang masukan tanpa menjejas identitinya. Kelebihan ini membantu pelestarian bahasa Melayu. Bahasa Melayu kuno ini didapati di batu-batu bersurat yang ditemui di Minangkabau (TM1356), Aceh (TM 1389) dan di Terengganu (TM 1303-1387). Contohnya adalah seperti berikut :
PALLAWA
MODERN
PALLAWA
MODERN
Wulan
Wanyak
Wuat
Wawa
Wala
Bulan
Banyak
Buat
Bawa
Bala
Dangan
Lapas
Manua
Saribu
Tmu
Dengan
Lepas
Benua
Seribu
Temu
Marlapas
Marwuat
Niparwuat
Niminum
Sarivu
Sapulu
Berlepas
Berbuat
Diperbuat
Diminum
Seribu
Sepuluh
Bhumi
Bhasa
Bhakti
Dhka
Dhga
Phla
Bumi
Bahasa
Bakti
Duka
Dahaga
pahala
Bahasa Melayu kuno mempunyai ciri-ciri tertentu seperti berikut :
i Adanya penggunaan klitik seperti –nda
ii Adanya awalan ni- (misalnya niwunuh yang bermaksud dibunuh)
iii Adanya awalan mer/mar untuk ber sekarang.
iv Adanya imbuhan terbahagi per-an, paN-an, ka-an
v Adanya awalan sa-
vi Adanya awalan maN
vii Adanya akhiran –I, -kan
Perkembagan bahasa Melayu jelas sekali merupakan sumbangan bangsa-bangsa lain. Bahasa Melayu mampu kekal bersaing merentasi zaman kerana kemampuannya meresapi bahasa-bahasa lain dan mengasimilasi bahasa-bahasa modern dewasa ini. Secara konvensi, peringkat evolusi bahasa Melayu diterima berdasarkan zaman Hindu, Islam, penjajahan dan Modern. Selari dengan pecahan ini saya akan mengatributkan evolusi bahasa Melayu kepada lima komponen iaitui akulturasi (pembudayaan), kolonialisasi (penjajahan), modenisasi (terkini) dan globalisasi (pensejagatan).
4 Akulturasi
Akulturasi (Kamus Dewan 1996:24) merujuk kepada penyerapan unsur-unsur kebudayaan daripada sesuatu budaya kepada budaya lain. Keadaan ini menyumbang kepada evolusi bahasa Melayu memandangkan terdapat penyerapan kekata daripada bangsa lain ke dalam bahasa Melayu. Keadaan ini berlaku kesan asimilisi budaya asing ke dalam budaya tempatan.
4.1 Animisme
Sebelum kedatangan pengaruh asing, masyarakat Melayu tempatan mempraktikan amalan animisme iaitu percaya kepada semangat, samada yang bernyawa (manusia dan binatang) mahupun yang tak bernyawa seperti pokok-pokok, kayu-kayu besar dan batu. Maka perbendaharaan kata mereka juga terhad kepada keadaan sekeliling sahaja.
4.2 Hindu-Buddha
Kedatangan orang-orang India yang membawa sama pengaruh Hindu-Buddha memulakan proses evolusi bahasa Melayu. Kepercayaan ini dipopuparkan melalui lisan atau oleh penglipur lara. Mereka mengunakan epik Hindu yang terkemuka iaitu Mahabarata dan Ramayana dengan beberapa penyesuaian dan diadaptasikan ke dalam konteks masyarakat tempatan. Ia akhirnya direaslisasikan dalam bentuk wayang kulit. Penyampaian cerita secara lisan ini amat berkesan dalam memasukkan istilah-istilah baru ke dalam bahasa Melayu memandangkan latar ceritanya berasal dari India. Secara tidak langsung banyak kekata India diresapkan ke dalam bahasa Melayu bagi memudahkan penceritaan.
Konsep kerajaan dan pentadbiran Hindu diperkenalkan kepada masyarakat Melayu melalui struktur pemerintahan beraja. Maharaja, raja dan permaisuri digambarkan sebagai hidup dalam mahligai bersama putera dan puteri yang terletak di dalam pura (ibu negeri atau bandar) dan ditadbir sama oleh perdana menteri dan menteri-menteri lain. Maharaja itu pula duduk di singgahsana dan disanjung dengan ucapan dirgahayu apabila menaiki takhta. Kawasan yang ditadbirnya dipanggil negeri/negara. Beliau dikatakan berbangsa diraja dan dikurinakan dengan kebijaksanaan dan budi.
Konsep agama dan budaya Hindu juga diperkenalkan secara lengkap dan perkara ini menambah perbendaharaan bahasa Melayu. Dalam konteks ini terdapat senario alam. Dewata Mulia Raya dianggap sebagai pengawal alam. Di bawahnya terdapat dewa dan dewi. Alam ini dikatakan terdiri daripada bumi, angkasa dan cakrawala. Terdapat juga syurga dan neraka. Manusia dikatakan mempunyai jiwa atau sukma. Mereka mengenali dosa dan dusta serta aniaya. Keji, hina dan durjana perbuatan yang dibenci tuhan. Manusia mengikuti tatatertib dan tatasusila dalam kehidupan. Guru akan mengajar tatabahasa dan tataguna berpandukan pustaka. Sesuatu perbuatan salah akan melalui bicara dan denda akan dikenakan setelah adanya saksi. Dunia dianggap sebagai loba yang membawa sengsara. Bahaya ini telah dikatakan oleh sasterawan dan pujangga. Mereka yang mengikuti hidup suci akan disinari cahaya suria untuk jaya berdasarkan cita.
Berdasarkan penjelasan di atas, penyerapan kata-kata sanskrit ke dalam bahasa Melayu berlaku dengan sewenang-wenangnya demi memastikan mesej dapat disampaikan kepada masyarakat. Perkataan-perkataan Sanskrit meliputi keseluruhan teks yang dijelaskan. Tanpa kekata Sanskrit itu, amat payah untuk dijelaskan konsep agama dan kehidupan kepada masyarakat Melayu ketika itu memandangkan kosakata mereka yangb terhad kerana kepercayaan mereka yang terhad kepada animisme sahaja. Maka bahasa Melayu mengalami evolusi pertama yang amat tinggi nilainya.
4.3 Islam
Kerajaan Melaka meraikan zaman kegemilangannya pada kurun ke 14 terutama sekali apabila Sultannya memeluk Islam pada tahunb 1414. Pengaruh Islam tersebar luas ke semua kawasan di Nusantara memandangkan Melaka merupakan satu empayar yang meluas dan gagah pada zaman tersebut. Senario ini secara langsung melenyapkan kekuatan pengaruh Majapahit dan Hindu. Islam mengambil alih tugas melestarikan bahasa Melayu di Nusantara. Pengaruh Islam telah mewarnakan lagi kosakata Melayu. Misalnya terdapat kekata seperti akhir, ajal, akhbar, hukum, sujud, fikir, akal, kiamat, makna, sabar, rukun, hukum, waktu, tamat (Arab); daftar, bius, nakhoda, tahta, syahbandar, kawin, temasya, kenduri (Farsi).
Penyebaran Islam pada abad ke 14 membawa pendekatan yang serupa dengan penyerapan budaya Arab/Islam ke dalam budaya Melayu-Hindu memandangkan orang Melayu ketika itu adalah penganut agama Hindu. Kedatangan Islam mengembangkan lagi pertumbuhan bahasa Melayu. Bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu kerana banyak hasil kesusasteraan wujud dalam era ini. Empayar Islam di Timur iaitu Melaka telah mencapai zaman kegemilangannya pada abad ke 14 dan sekaligus menjadi pusat perkembangan Islam. Maka bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Melaka turut meningkat taraf dan penggunaannya. Ia menjadi lingua franca setiap padagang dan penghuni Nusantara.
Senario ini menyebabkan bangsa-bangsa lain seperti Cina, Portugis, Belanda dan Inggeris berbicara dalam bahasa Melayu serta memperkenalkan perbendaharaan mereka ke dalam bahasa Melayu bagi memudahkan komunikasi. Akhirnya kata-kata yang diperkenalkan itu menjadi bahasa Melayu kerana diterima konvensi. Misalnya, terdapat kekata Cina yang meresapi bahasa Melayu seperti dacing, anglo, tauke, kongsi, mi, tauco, tongkang, tocang, loteng dan kuntau.
Kini bahasa Melayu semakin kukuh. Ia mampu menjelaskan fenomena dunia secara meluas dan intelektual memandangkan ia telah meresapi bahasa daripada dua tamadun besar dunia. Ia tidak lagi dibelenggu oleh kawasan sekelilingnya sahaja. Zaman animisme semakin terpinggir dengan kehadiran agama dan ilmu bahasa. Bahasa Melayu telah mencapai tahap bahasa Klasik. Bahasa klasik ini lebih berstruktur dan modern. Pengajian ilmu menjadi budaya masyarakat Melayu kerana mereka tidak lagi buta ilmu. Peringkat ini menonjolkan kesan pembudayaan atau akulturasi terhadap evolusi bahasa Melayu. Bahasa Melayu berubah atau lebih tepat lagi bertambah kerana keperluan penyerapan budaya demi pelestarian insan.
5 Kolonialisasi
Kolonialisasi(Kamus Dewan 1996:694) merujuk kepada proses, tindakan atau perbuatan menjadikan sesuatu tempat sebagai koloni ataupun dijajah. Kawasan Melayu telah dijajah oleh kuasa-kuasa Eropah seperti British, Holland, Portugis, Perancis dan Sepanyol. Proses kolonialisasi ini membawa kepada penyerapan nilai budaya asing ke dalam budaya Melayu. Maka banyak perubahan berlaku ke atas sistem bahasa Melayu itu sendiri termasuk sistem penulisannya yang akhirnya berubah daripada Jawi kepada Rumi. Namun demikian perbendaharaan bahasa Melayu semakin bertambah. Misalnya daripada Portugis terdapat kekata almari, armada, bendera, meja, jendela, boneka, mentega, biola, renda, soldadu dan paderi. Bahasa Belanda memberikan bahasa Melayu kekata duit, seterup, kamar, speda, taksir, stoples, ransum, perlop dan pekan. Akhir sekali bahasa Inggeris menghasilkan kekata radio, jaket, motokar, televisyen, gol, raket dan tiket.
Kolonialisasi memaksa bahasa Melayu berubah kerana desakan penjajah. Orang Melayu yang sudah biasa dengan bahasanya terpaksa menerima bahasa penjajah bagi kemudahan penjajah berbicara dengan mereka samada untuk memerintah atau meraih sesuatu daripada kawasan yang dijajahi. Kolonialisasi juga memperkenalkan barangan baru kepada kawasan yang biasanya lebih mundur daripada negara asal penjajah itu sendiri. Maka barangan tersebut terpaksa diberikan lambang atau nama oleh orang Melayu. Biasanya orang Melayu menerima terus nama yang diberikan penjajah dan menggunakannya sebagai bahasa Melayu.
6 Modernisasi
Modenisasi (Kamus Dewan 1996:894) merujuk kepada perihal, proses atau perbuatan memodenkan atau yang terkini. Zaman moden membawa banyak perubahan kepada bahasa Melayu. Lebih banyak istilah-istilah dihasilkan demi penakatan bahasa dalam era teknologi dan perindustrian. Kini bahasa Melayu lebih bersifat keilmuan. Bidang-bidang sains, perubatan, mekanikal, kejuruteraan, komputer, sains hayat dan kimia memaksa bahasa Melayu menyerap istilah-istilah Inggeris ke dalam bahasa Melayu melalui satu proses peristilahan. Maka lahirlah istilah-istilah seperti karbon dioksida, eksperimen, teori, kapital, mesin, komputer, seks, biologi, aktiviti, organisasi, konsentrasi, embrio, kranium dan vaksin.
Bahasa Melayu telah mengalami evolusi terpenting pada peringkat ini. Modernisasi memankinkan kewujudan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam semua bidang yang terokai oleh manusia Melayu. Perkembangan sihat ini masih diteruskan. Selain bahasa Inggeris yang diceduk terus ke dalam bahasa Melayu dan disesuaikan dengan sebutan dan ejaan, ada juga yang diistilahkan sepenuhnya dalam bahasa Melayu mahupun gabungan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu seperti tiru biak (cloning), kepekatan pukal (bulk concentration), rama-rama mata lembu (bull’s eye moth), malar hijau (evergreen), pengewapan/penyejatan (eveporation) dan kirim balik (freight back).
Evolusi bahasa Melayu pada zaman ini berlaku atas dasar penakatan agar masyarakat Melayu tidak terpinggir dengan perkembangan pesat dunia. Sesuai dengan perkembangan dunia mencapai kemajuan hidup, bahasa Melayu juga terpaksa berubah dan menyesuaikan diri dengan bahasa-bahasa yang maju gar dapat maju bersama.
7 Globalisasi
Globalisasi (Kamus Dewan 1996:408) merujuk kepada fenomena yang menjadikan dunia kelihatan mengecil dari segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat. Alaf ini menampilkan satu perkembangan menarik dan mencabar bagi bahasa Melayu. Ia telah melalui evolusi terunggul iaitu bahasa manusia atau human language. Evolusi bahasa Melayu pada peringkat ini merupakan cantuman bahasa normatif dan komunitif di internet. Zaman globalisasi menyaksikan penggunaan melaus bahasa Melayu di internet. Maka internet juga merupakan kayu ukur evolusi bahasa Melayu di alam Melayu.
Penggunaan bahasa Melayu di internet terbahagi kepada beberapa komponen iaitu email, chat dan leleman web. Chat terbahagi kepada tiga jenis iaitu IRC, ICQ dan MSN yang menggunakan emoticons atau ikon-ikon emosi. Email dan chat menggunakan bahasa komunikatif sahaja. Ikon-ikon emosi merujuk kepada ilustrasi yang menunjukkan perasaan pengguna misalnya riak wajah marah, sedih, gembira, tersenyum, bunga ros dan jantung. Ikon-ikon ini juga merupakan wahana penyampai maksud atau bahasa di internet yang bersifat pictographic atau ideagrahic. Lelaman web pula terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu hiburan dan intelektual. Biasanya bahagian intelektual seperti bahasa dan kesusasteraan menggunakan bahasa normatif manakala bahagian hiburan menggunakan bahasa normatif bagi segmen informasi dan bahasa komunikatif bagi segmen interaktif.
Pengklasifikasian di atas menunjukkan bahawa pengunaan bahasa di internet yang bersifat umum seperti pemberian maklumat lebih cenderung kepada bahasa normatif untuk mengelakkan kekaburan dan salah tafsir. Manakala penggunaan bahasa yang bersifat peribadi atau persendirian seperti di email dan chat bersifat komunikatif. Keadaaan ini berlaku kerana adanya komuniti maya yang memahami antara satu sama lain akan bahasa yang digunakan.
Latarbelakang ini menjadi penjelasan kepada perkembangan dan pembangunan bahasa Melayu zaman ini. Kini telah lahir laras internet bagi bahasa Melayu di internet.
Menurut Fishman, seorang ahli sosiolingusitik, laras ialah lingkungan institusional iaitu apabila sesuatu ragam yang digunakan oleh seseorang yang dianggap lebih sesuai daripada ragam bahasa yang lain. Laras internet ini merupakan gabungan bahasa tulisan dan lisan. Internet telah berjaya menyatukan ataupun menggramatiskan bentuk bahasa Melayu yang dianggap tidak gramatis. Penjelasan di atas tadi menunjukkan bahawa bahasa jenis normatif digunakan untuk penulisan sementara bahasa komunikatif digunakan untuk lisan atau percakapan. Laras internet pula merupakan perealisasian keserasian kesatuan bahasa lisan dan tulisan dalam bentuk visual. Ini bermaksud sesuatu yang dahulunya hanya dapat ditutur, kemudian didengar dan hilang kini dapat dilihat dan disimpan. Bentuk lisan kini direalisasikan dalam bentuk tulisan tanpa menurut tatabahasa bentuk penulisan.
Banyak istilah baru terhasil bagi kemudahan ekspresi. Misalnya perkataan-perkataan seperti kang (nanti), a’kum (assalamualaikum), w’lam (wa’alaikumsalam), dowang (mereka), wokay (baiklah), tipon (telefon) dan persal (mengapa). Terdapat juga kata gantinama yang telah diubahsuaikan menjadi dowrang (mereka), sayer (saya), dier (dia), korang (kamu), nko (engkau) dan nyer (nya), nie (ini). Begitu juga dengan kata tanya yang diubahsuaikan menjadi asal (mengapa), biler (bila), camner (bagaimana), maner ( mana) dan naper (kenapa). Amat menyedihkan pula istilah-istilah agama seperti dipermainkan misalnya alah (Allah), A’kum (Assalamualaikum) dan w’lam (Wa’alaikumsalam).
Keadaan ini selanjutnya membawa kepada terhasilnya ayat-ayat tidak gramatis kerana menyeleweng daripada hukum-hukum tatabahasa. Misalnya ayat-ayat – “Leh sayer kenal2 dengan awak?” (Bolehkah saya berkenalan dengan awak), “A’kum semuer. Kat maner nie? ” (Assalamualaikum semua. Awak berada di mana?, “Skang nie pon dah ader benda tuu.” (Sekarang ini pun sudah ada alat itu).
Pada pragmatiknya, kita dapat melihat satu evolusi menarik dalam penggunaan bahasa Melayu. Pada tahap permulaan berlaku pemendekan istilah yang masih mudah difahami seperti tak (tidak), saja (sahaja), duk (duduk), gini (begini), gitu (begitu), mau (mahu) dan reti (mengerti). Pada tahap pertengahan pula berlaku penyerapan kata-kata kepada bahasa lisan seperti digunakan dalam perbualan biasa misalnya amik (ambil), antar (hantar), bace (baca), mane (mana), same (sama), kecik (kecil), ape (apa) dan hotak (otak.).
Perkembangan selanjutnya memaparkan pemelatan kata-kata mungkin dengan tujuan meriahkan suasana perbualan atau sekadar manambahkan kemesraan misalnya caye (percaya), camni (macam ini), camtu (macam itu), teypon (telefon), keng-kawan (kawan-kawan), cedap (sedap), amik atti (ambil hati), pompan(perempuan) dan mepek (merepek).
Kemudian lahir kata-kata bersifat irama seperti seryuz (serius), lepaz (lepas), wajibz (wajib), sayer (saya), biler (bila), kiter (kita), jumper (jumpa), luper (lupa) dan nyer (nya). Proses pelahiran istlah internet bahasa Melayu mencapai kematangan apabila istilah spesifik berputik seperti om (orang), ngan (dengan), je (sahaja), ur (awak), lak (pula), kerker (ketawa kecil), hmmm (sedang berfikir) dan ha x 9999999 (ketawa terbahak-bahak). Akhir sekali lahir penggunaan simbol-simbol seperti
atau J (mimik muka senyuman),
atau L (mimik muka sedih / masam),
(mimik muka yang mengejek),
)) (mimik muka sedang ketawa), :O (mimik muka terkejut) dan n (menandakan berakhirnya perbualan).
Demikian proses evolusi bahasa Melayu di peringkat global. Sejarah menonjolkan betapa bahasa Melayu telah berkembang daripada status kuno kepada moden setelah melalui beberapa proses penyerapan daripada bahasa-bahasa Sanskrit, Arab, Cina dan Inggeris. Proses peristilahan telah berjaya memartabatkan bahasa Melayu agar tidak beku, sebaliknya terus dinamis. Alaf baru ini meneruskan proses evolusi bahasa Melayu ke peringkat maya. Bahasa Melayu Internet tidak perlu melalui proses peristilahan ataupun konstruksi kata dan ayat oleh pakar bahasa. Kini istilah-istilah baru dapat dihasilkan oleh orang persaorangan. Pengikirafan diberikan atas dasar musyawarah iaitu difahami dan digunakan secara konvensi oleh pengguna-pengguna internet. Ini merupakan satu perkembangan menarik dan sihat.
8 Kesimpulan
Bahasa Melayu telah mengalami evolusi sejak awal zaman hingga ke hari ini. Evolusi ini berlaku kerana pertembungan budaya dengan bahasa-bahasa lain. Tidak ada bahasa di dunia ini yang wujud secara homogen. Semua bahasa terpaksa melalui proses evolusi yang mana komponennya adalah bahasa-bahasa lain. Evolusi ini berlaku dengan cara saduran, penyerapan dan pengambilan sepenuhnya. Berkat proses evolusi ini, bahasa Melayu mampu wujud sehingga ke hari ini dalam bentuk yang dinamis dan moden. Bahasa Melayu tidak beku atau pupus kerana ia mampu membiak. Secara fitrah bahasa Melayu itu dilengkapi dengan mekanisme pembiakan sehingga mampu mengharungi peringkat-peringkat evolusi sehingga bermartabat di mata dunia sebagai satu daripada bahasa-bahasa yang terbanyak penuturnya.
“Evolusi bahasa Melayu mencerminkan penerimaan kita dan dunia terhadap
kewibawaan bahasa Melayu – bahasa yang tidak mengalami evolusi mencerminkan
bahasa yang beku dan bakal pupus. Kewajipan kita melestraikan bahasa tercinta
agar kita bertempat jangan sampai tidak bertempat kerana pupus bahasa.”
Bibliografi
1990. Sekata. Jurnal Pengembangan dan Pengajaran Bahasa Jilid 8 Bilangan 1. Singapura. Jawatankuasa Bahasa Melayu Singapura. MITA
1990. Sekata. Jurnal Pengembangan dan Pengajaran Bahasa Jilid 8 Bilangan 2. Singapura. Jawatankuasa Bahasa Melayu Singapura. MITA
1991. Dinamika Budaya. Singapura.Kerjaya Printing Industries Pte Ltd.
1992. Daftar Istilah MABBIM. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
1992. Ke Arah Pembentukan Istilah Yang Sempurna. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
1992. Pesan – Kumpulan Makalah Sempena Bulan Bahasa 1993.Singapura. Malaysia Press(Sdn) Berhad.
1992. Resan Dan Kesan – Kumpulan Makalah Sempena Bulan Bahasa 1992. Singapura. Malaysia Press(Sdn) Berhad.
1996. Kamus Dewan Edisi 3. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka
1996. Kamus Linguistik. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka
Abdullah Hassan 1992. Linguistik Am untuk Guru Bahasa Malaysia. Petaling Jaya. Penerbitan Fajar Bakti
Abdullah Hassan 1997. Bahasa Melayu Sebagai Bahasa ilmu. Petaling Jaya. Penerbitan Fajar Bakti
Asmah Hj Omar 1988. Susur Galur Bahasa Melayu. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka
Asraf 1996. Manifesto Budaya – Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa. Kuala Lumpur. LohPrint Sdn Bhd.
Ismail Hussein et.al 1993. Tamadun Melayu Jilid Satu. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka
Ismail Hussein et.al 1993. Tamadun Melayu Jilid Dua. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka
Tham Siong Chee 1990. A Study Of The Evolution Of The Malay Language-Social and Cognitive Development. Singapore. Singapore University Press.
Zaiton Ab. Rahman & Zaini Mohamed Zain 1990. Pensejarahan Bahasa Melayu – Beberapa Pandagan Awal. Siri Monograf Sejarah Bahasa Melayu. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
* Kertas kerja ini dibentangkan semasa ceramah Evolusi Bahasa Melayu sempena Unvision 2000 anjuran 4PM pada 17 November 2000 bertempat di Hotel Centuary Roxy Park.
Pernah diterbitkan di Jurnal Aktivis:
http://www.stp.nie.edu.sg/images/Trainers
Panduan Sumber
http://mms.elibraryhub.com/SHC/Reference%20Malay%20Collection/aksara%20bibliography.pdf